Monday, May 21, 2007

cerita hari ini

Dengan nama ALLAH yang diriku di tangan-Nya, aku menutur kata menurut kata hati dengan batasan yang telah ditetapkan yang sedayanya cubaku ikuti, demi memelihara diriku dengan prinsip itu.

Aku lebih suka menulis hanya apabila terasa ingin berbuat demikian. Membicarakan sesuatu dengan kata-kataku tanpa melibatkan pihak lain. Lebih telus. Salah satu caraku merungkai apa-apa yang bersarang dalam jiwa. Selain itu, aku pilih untuk berfikir. Berfikir tentang hidup. Dan alangkah baiknya jika aku menjadi hamba yang cukup merendah diri. Menerima segalanya seadanya tanpa soal, malah terus-menerus bersyukur. Namun aku tahu. Aku masih lemah daripada banyak segi. Moga ada pembimbing yang baik untuk memimpinku kearah-Mu. Jika diizin Allah..

Hidup dunia memang di luar jangkaan. Sebab ada kuasa agung yang menetapkan. Masa menentukan, bersama dengan keadaan. Jika sesuatu itu telah ditakdir bukan menjadi hak hakiki, maka aku tak boleh mengharap pada yang bukan milik diri. Ada sebab yang pasti. Ada sesuatu yang lebih baik dari itu. Sebab aku perlu belajar untuk menjadi redha. Dan juga menjadi sabar.

Kadang-kadang timbul persoalan. Apakah aku belum cukup mengerti dengan tujuan aku dihidupkan di sini. Ingat kembali sirah Adam dan Hawa. Menilai kembali kesalahan untuk membersihkan jiwa.

Aku bertemu dengan ramai kawan. Memang sejak daripada kecil aku mengikut keluarga berpindah-randah. Seronoknya dapat pengalaman merantau bukan di tempat sendiri. Sebab dapat jumpa ramai orang. Aku rindu pada kawan-kawan. Masih ada di antara mereka yang berhubungan denganku sampai waktu ini. Lama tak jumpa Christina. Juga yang lain-lain. Ramai yang pandai-pandai. Macam Rahmah, Syahir, Aqilah, Nazrul. Berguna betul mereka belajar bahasa jepun dulu. Tapi Syahir rasanya ambil bahasa arab. Aku pun ambil bahasa arab. Tapi sayangnya dah lama aku tinggalkan daripada terus mempelajarinya. Dengan Afif pun kebetulan aku berYM dengannya semasa pulang ke rumah hari itu. Tak sangka dia pun sedang belajar bidang yang lebih kurang sama denganku, tapi lain sedikit.

Banyak betul kenangan selama aku hidup 20 tahun lebih ni. Yang paling ku ingati detik-detik merasai pengalaman duduk di asrama buat pertama kali di sebuah sekolah di Kem Terendak, Melaka. Paling kelakar pada satu waktu tu, aku dan Huda menangis bersama-sama sebab rindukan keluarga kami di Labuan. Akhirnya, sehingga pada suatu hari ayahku datang melawat ketika dia ada tugasan di Kuala Lumpur. Ayah lihat mukaku nampak cengkung. Selepas itu, ayah pulang mengkhabarkan perihalku pada emak. Dan disebabkan tidak mahu lagi aku membazir duit syiling sekurang-kurangnya 3 ringgit setiap hari menelefon dari Melaka ke Labuan (waktu itu masih lagi guna telefon awam) di samping merengek mahu tukar sekolah, akhirnya ayah menyuruh ibu saudaraku menguruskan hal-hal tukar sekolah. Huda pula ? Kukira dia cukup kental kerana mampu bertahan sehingga tingkatan tiga dan disebabkan akademiknya baik, dia dapat tukar ke MRSM Taiping. Dan sekarang, dia sedang belajar di UTP. Huda memang pandai.

Itu hal waktu dulu. Dan waktu sekarang, aku masih di sini melaksanakan tanggungjawab. Padaku, dengan mengingati kisah lama, aku boleh menilai. Menilai yang baik dan buruk supaya aku jadi lebih dewasa untuk mengerti kehidupan. Sehingga detik ini, aku sudah banyak membazir waktu untuk banyak perkara yang akhirnya menyebabkan kesedihan hati, disebabkan aku tidak menggunakan nikmat masa yang ada untuk tujuan yang boleh membawa kepada kebaikan, buat diri dan juga orang lain.

Dan kebetulan, malam tadi adik Aini menghantar mesej kepadaku, setelah sekian lama tak tahu khabar dia. Katanya, handset nya hilang. Semua contact pon hilang. Entah macam mana selak buku apa, terjumpa nomborku semula. Kataku, jodohku dengan dia kuat. Allah izinkan lagi kami berhubungan. Aini rindu akak, akak pun rindu Aini. Harapnya Aini pilih untuk sambung belajar di Polytech Mara Bangi yang surat tawarannya sudah pun datang, sebab nanti kita boleh jumpa lagi di situ.

K6F107

No comments: