Saturday, November 25, 2006

Semalam..

RahmatMu jua ku pohon buat menemani perjalanan dunia sementara. Dan perasaan yang teramat sangat rindu padaMu menjengah hatiku kala ini ya Allah. Sudah lama benar air mata ini tidak gugur mengingatkanMu.

Saya cuba untuk menulis kali ini. Dan kali ini, saya lebih senang untuk membahasakan diri saya dengan ‘saya’ (instead of ‘aku’). Lebih sopan kiranya.

Saya hanya akan menulis apabila ingin menulis. Dan catatan yang saya tulis lebih senang saya pos di sini untuk kali ini. Dan kewujudan blog ini sebenarnya lebih untuk menjadikannya sebagai salah satu koleksi peribadi yang boleh saya lihat kembali pada masa akan datang buat mentafsir diri. Maka, tidak kisah lah tulisan saya dibaca umum ataupun tidak.

Kehidupan dunia memang di luar jangkaan. Dunia ini Allah jadikan sebagai ladang buat menyemai benih amal dan kita perlu menuai hasilnya buat bekalan ke sana. Ya, ke sana yang sememangnya pasti. Itu janji Allah. Dan Allah tidak pernah memungkiri janjiNya.
Yang kekal ialah amal..

Perjalanan siang hari tadi memberi sedikit sebanyak pengajaran yang boleh saya jadikan panduan. Baru kali ini saya lebih menyedari tentang hakikat sebenar. Selama ini saya kurang membuat perhitungan tentang pengalaman yang dialami.

Kesempatan pulang ke kampung halaman menikmati cuti yang panjang memang melapangkan. Kerana semester yang dihabiskan ketika di kampus memang kurang melapangkan. Urusan pembelajaran, seterusnya sibuk dengan penilaian yang dibuat berdasarkan peperiksaan, memang memenatkan. Bukannya penat fizikal, tapi lebih kepada jiwa. Otak penat menelaah di saat akhir peperiksaan kerana ia dipaksa memahami apa yang yang telah dipelajari dalam masa yang singkat. Memang benar, ramai pelajar lebih cenderung meyiapkan diri di saat akhir. Dan inilah akibatnya. Suasana dan budaya kebiasaan yang menyebabkan.

Saya balik kepada cerita asal.

Inilah realiti dunia. Dan betapa saya rasa bersyukur ke hadratNya kerana diberi kesempatan menyedarinya. Teringin sangat menapak di Tanah Haram kala ini. Biar duduk di sana selamanya. Kerana di sana pasti hati akan sentiasa beringat untuk mengingatinya tanpa henti. Tapi saya belum mampu ke sana. InshaAllah, moga saya diberi kesempatan olehNya ke sana bersama mak ayah dan adik-adik semua. Ya Allah, rindunya saya pada saat itu. Adakah impian ini sempat untuk dilaksanakan?

Siang tadi, saya menaiki bas pulang ke Muar. Bas bertolak jam 2.30 petang. Maka, rancangan awalnya ialah dari kolej jam 12, kira-kiranya sempat saya solat jamak di Pudu. Tapi, tak sedar pula hari ini hari Jumaat. Dan surau Al-Hidayah (kalau tak silap saya) hanya akan mula beroperasi selepas jam 2.30 petang. Erm, sedih pula rancangan asal tak terlaksana. Namun, saya niatkan untuk solat jamak takhir di Masjid Sg. Mati sebelum ayah datang menjemput saya dari situ ke rumah. Dan syukur padaNya, kesempatan itu saya perolehi.

Sebenarnya dalam hati tertanya, mengapa perlu surau itu ditutup mengikut waktu tertentu? Ya, memanglah saudara lelaki berjemaah solat Jumaat di masjid. Tapi, kasihan saudara perempuan nak bersolat. Terfikir saya, sewajarnya kemudahan awam ini dibenarkan untuk diguna umum pada bila-bila masa saja. Tapi, kenapa tak boleh? Mungkin sebab-sebab keselamatan untuk mengelak dari pihak yang menyalahgunakan tempat itu. Lagipun pihak keselamatan hanya bertugas pada waktu yang ditetapkan. Maka, masalah berkaitan dapat dielakkan dengan menetapkan cara sedemikian. Ini pandangan saya semata.

Kesempatan awal menanti kehadiran bas membenarkan saya membeli buah tangan untuk adik-adik. Sementelah itu, saya mencari tempat duduk bagi menghilangkan lenguh berdiri sepanjang perjalanan sebelum ini. Dapatlah saya duduk walaupun bersebelahan dengan tong sampah. Saya tak kesah.

Dalam duduk-duduk, saya didatangi pada awalnya dua orang budak perempuan yang comel bertudung meminta derma. Si akak menemankan si adik. Si adik yang bersuara untuk meminta. Sedih saya lihat. Mereka ni sebenarnya di paksa pihak lain ke untuk berbuat demikian? Seketika saya musykil.. Namun, saya hulurkan beberapa sen ke dalam cawan polistren yang mereka gunakan. Dan mereka meneruskan permintaan seterusnya hanya pada orang Islam pada fikiran saya. Ini kerana selepas saya, mereka pergi kepada seorang kakak bertudung walaupun sebelum itu ada beberapa Chinese yang duduk di sebelahnya.

Tinggalkan cerita itu. Saya meneruskan pemerhatian pada orang di sekeliling. Ye la, sekelilingnya orang ramai. Maka, tak boleh la saya sentiasa pandang ke lantai. Dan saya di datangi lagi dengan seorang peminta sedekah lelaki. Namun, saya hanya menggelengkan kepala beberapa kali kepadanya. Entah la, saya serba salah pula nak memberi. Patutkah? Dia pun berlalu ke tempat lain..

Saya bangkit pula untuk bergerak ke depan booth Transnasional. Sekali lagi saya menapak berdekatan dengan tong sampah. Tong sampah lagi.. Mungkin orang ramai menjadikannya tempat membuang sesuatu, namun segelintir daripada mereka menjadikannya tempat mendapatkan sesuatu. Selama saya di situ, 2 orang lelaki Cina dan 1 orang perempuan Cina menjengah ke dalamnya untuk meninjau sekiranya ada tin kosong untuk mereka kutip. Kelihatan seolah-olahnya siapa yang cepat dapat dulu. Mungkin itulah sumber rezeki mereka.

Akhirnya bas yang dinanti pun tiba. Saya duduk bersebelahan dengan budak lelaki. Rasanya adik tu masih lagi bersekolah. Dari perbualan yang saya dengar (saya terdengar bukan curi dengar), mereka ke Muar untuk ke sekolah. Agaknya mereka nak ambil result PMR kot. Itu sangkaan saya.

Dan akhirnya saya selamat sampai di rumah dan berkesempatan menulis pada ketika ini. Sempat saya melayari internet melihat apa-apa yang patut. Banyak cerita sahabat-sahabat dengan rentetan kehidupan tersendiri. Segelintirnya semakin berilmu, namun segelintirnya tidak seperti yang saya lihat dulu. Ya Allah, berilah kami hidayah berpanjangan dari Mu. Peringatkan kami untuk kembali membersihkan diri setiap masa..

Bila dah sampai waktu sekarang, kita akan mula ingat waktu dulu. Masa merubah segalanya. Pengalaman dalam kehidupan mematangkan kita. Saya doakan sahabat-sahabat saya berjaya dunia akhirat..

Inilah coretan saya kali ini. Dan saya akan menulis apabila rasa ingin berbuat demikian. Cacatan ini mungkin pada masa yang akan datang mengingatkan saya pada masa ini yang mungkin pada waktu itu ia hanya tinggal kenangan. Masa yang pergi tak akan kembali. Oleh itu, gunakan ia sebaiknya dalam mencari redha Allah di muka bumi. Yang kekal hanya amal..

No comments: